1 Malaysia 2ward Wawasan 2020

1 Malaysia 2ward Wawasan 2020

Visitor/Pelawat

Wednesday, March 13, 2013

LEE KUAN YEW- SINGAPURA AKAN KEMBALI KE MALAYSIA SELEPAS PRU-13

Pertikaian soal Malaysia sebagai Negara Islam sengaja dibangkitkan lagi dalam Dewan Rakyat. - Gambar hiasan PERSOALAN adakah Malaysia sebuah negara sekular sering dibahaskan. Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, dalam jawapan bertulis di Parlimen menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Malaysia adalah negara sekular. Mungkin kerana peruntukan dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan "Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu" membawa kepada kefahaman sedemikian rupa. Apakah dengan peruntukan sedemikian menafikan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam dan meletakkannya sebagai sekular? Menurut (Prof.) Dr. Abdul Aziz Bari, apabila mentafsirkan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan, ia tidak boleh ditafsirkan secara sempit dan berasingan daripada peruntukan lain dalam Perlembagaan itu sendiri. Hujah yang menyatakan bahawa Malaysia sebuah negara sekular adalah kurang tepat. Ini kerana, terdapat banyak peruntukan lain dalam Perlembagaan itu yang memberi keistimewaan kepada agama Islam. Perkara 3(1) yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 12(2) yang membenarkan kerajaan membelanjakan duit negara bagi pembangunan agama Islam, menunjukkan bahawa Malaysia bukan negara sekular. Lagipun perkataan sekular tidak wujud dalam Perlembagaan itu sendiri. Dari sudut sejarah, Tanah Melayu dianggap oleh ahli-ahli sejarah sebagai sebuah negara Islam melihat kepada undang-undang yang dilaksanakan semasa itu. Sebelum kedatangan penjajah Belanda dan British, undang-undang yang terpakai adalah meliputi undang-undang Islam dan adat. Hukum Kanun Melaka sebagai undang-undang pokok mempengaruhi undang-undang di negeri lain, yang banyak mengandungi peraturan dan hukuman yang berlandaskan agama Islam dan adat Melayu. Kedatangan Belanda di Melaka dan seterusnya menjajahi seluruh Tanah Melayu tidak sedikit pun memberi kesan kepada aspek undang-undang yang terpakai semasa itu. Hanya dengan kedatangan British, undang-undang Islam sedikit demi sedikit diketepikan dan diganti dengan undang-undang Inggeris. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, tiada satu perisytiharan dibuat mengatakan Malaysia adalah negara Islam. Perisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam hanyalah dibuat 44 tahun kemudian oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 29 September 2001. Perlembagaan Persekutuan yang kita miliki sekarang digubal oleh satu Suruhanjaya yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid. Suruhanjaya ini diketuai oleh Lord Reid dari United Kingdom dengan ahli-ahli lain terdiri dari Sir Iver Jeannings dari United Kingdom, Justice Abdul Hamid dari Pakistan, Sir William McKell dari Australia dan B Malik dari India. Pada asalnya, peruntukan Islam sebagai agama negara tidak terdapat dalam draf awal Perlembagaan. Hanya Justice Abdul Hamid dari Pakistan membangkitkan persoalan itu dalam lampiran laporan Suruhanjaya itu. Selepas itu, Parti Perikatan mencadangkan supaya satu peruntukan mengenai agama Islam sebagai agama Persekutuan dimasukkan dalam Perlembagaan tanpa sedikit pun menyisihkan hak bukan Islam dalam menganut, mengamal dan menyebar agama mereka. Memang benar Suruhanjaya ini ada menyatakan bahawa peruntukan ini tidak sama sekali mengetepikan status Malaysia sebagai sebuah negara sekular tetapi ia sama sekali tidak wujud dalam draf akhir Perlembagaan itu sendiri. Pihak Raja-raja pada awalnya agak keberatan menerima peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, bimbang baki kuasa yang ada dalam tangan mereka iaitu agama Islam dan adat Melayu akan diserahkan kepada Kerajaan Pusat. Akhirnya, setelah Perikatan meyakinkan kedudukan sebenar, Raja-raja Melayu bersetuju menerima kemasukan peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan itu, Kertas Putih dikeluarkan bagi maksud itu. Maka, Perkara 3(1) menyatakan "Ugama Islam adalah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan". Peruntukan seperti ini diberi penekanan sekali lagi dalam Perkara 11(1) yang berbunyi "tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya". Dengan adanya dua peruntukan penting ini, Perlembagaan memberi jaminan hak kebebasan beragama kepada kepada semua penganut agama. Tetapi, kebebasan beragama tidaklah bersifat mutlak. Sebagai contohnya, dalam fasal (4) Perkara 11 memberi kuasa kepada Parlimen dan Badan-badan Perundangan Negeri menggubal undang-undang pengawalan agama bukan Islam kepada orang Islam. Di samping itu, Perkara 11 (5) meletakkan syarat bahawa kebebasan itu tidak menyalahi ketenteraman awam, kesihatan awam dan akhlak. Walaupun Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman ada menjelaskan dalam satu sesi Parlimen bahawa negara ini bukanlah sebuah negara Islam dan peruntukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan hanyalah untuk tujuan rasmi negara, itu hanyalah pandangan peribadi beliau. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan itu sendiri tidak sama sekali menyebut negara ini sebagai negara sekular. Mungkin ada sesetengah peguam dan pengamal undang-undang yang mengatakan bahawa kes Che Omar Che Soh lawan Pendakwa Raya [1988] 2 MLJ 55 mengiakan bahawa Malaysia bukan negara Islam dan ini mengesahkan bahawa negara ini adalah negara sekular. Ini kerana Hakim Tuan Salleh Abbas (ketika itu) berpendapat bahawa agama Islam bukanlah hanya peribadatan khusus tetapi meliputi satu cara hidup yang merangkumi pelbagai aktiviti kehidupan sama ada dalam bentuk individu mahupun kemasyarakatan seperti undang-undang, politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, moral dan kehakiman, namun peruntukan Perkara 3(1) hanyalah bersifat peribadatan dan upacara rasmi sahaja. Tetapi menurut Prof. Dr.Aziz Bari, keputusan kes ini sebenarnya tidak mencerminkan kedudukan sebenar Islam seperti mana yang dibuat dalam Laporan Suruhanjaya Reid dan Kertas Putih. Keputusan Che Omar tidak boleh sama sekali mempertikaikan perihal kesahihan undang-undang. Ia hanyalah mengehadkan amalan agama Islam seperti mana yang termaktub. Keputusan kes ini tidak sama sekali merendahkan kedudukan agama Islam itu sendiri. Ini kerana perayu mempertikaikan sama ada undang-undang yang wujud dalam negara ini, dalam hal ini hukuman gantung mandatori bagi kesalahan mengedar dadah adalah bercanggah dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, justeru undang-undang Islam tidak menghukum orang yang mengedar dadah dengan hukuman mati.

No comments: